since 1986.

The subject i know best is Me.

Sabah: Entri Paling Panjang

semalam operation engah tamat jam 11 malam. aku dan suami sempat ada dengan kaksu sampai neurosurgeon brief tentang pembedahan dan keadaan engah akan datang: what to expect and whatnots. kita sama-samalah doakan engah kembali pulih macam biasa. kesian kaksu dengan khairin. dapat teman kaksu sampai engah keluar bilik pembedahan is the least i can do. selain itu, doa sajalah banyak-banyak. doktor kata rupanya keadaan engah lebih teruk daripada yang mereka sangka. and here i thought brain tumor only happens in tv. semoga selamat semuanya.

anyways.

entri ni suami dah request sejak kami masih menunggu di balai perlepasan menuju kota kinabalu lagi. katanya mau ambil gambar banyak-banyak dan mau aku rakam cerita kami dalam blog ini supaya senang dia copy-paste ke blog dia. layankan sajalah. sedangkan cerita aku backpacking ke saigon dan shopping di bandung tak pula aku beria cerita di sini. nak buat macam mana, suami malas karang postnya sendiri, itu pun entah ya entah tidak. blog beliau pun beliau sangat jarang buka.

ceritanya suami perlu bertugas ke sabah lebih seminggu lepas. perjalanan kami mengambil masa sebelas malam dan sepuluh hari, melawat empat daerah dan beberapa pekan lagi. sangat penat dan panas. hati pun kadang-kadang panas gak. huhu. tapi bila dah penghujung trip, rasa taknak baliklah pulak. sangat seronok. yang paling seronok sebab percutian kami ni macam adventure pula. mencabar betul. aku memang suka jalan-jalan mencabar macam ni.


KUALA LUMPUR
hari tu aku perlu hantar ayah ke hospital dan ambil adik balik sekolah. jadi kami cuma bertolak ke kuala lumpur menaiki kereta lepas tengahari. kami sampai di TBS agak petang dan kereta diserahkan kepada adik suami. pandai-pandai adiklah jaga kereta kecik tu ye. abang dan kakak nak berjalan. hehe. dari TBS naik ERL ke KLIA setengah jam je. sampai di KLIA terus self check-in dan check-in bagasi, lepas tu termenung sekejap. flight awal malam, sempatlah solat maghrib di situ. sebelum flight, aktiviti wajib suami mestilah check-in dan post gambar boarding pass kami di facebook. dan sudah tentulah dia post semua tu guna akaun aku.

kat bawah ni gambar aku dengan beg-beg kami. sila tambah lagi satu backpack dalam gambar ini mengikut imaginasi masing-masing. aku pun taktau apa yang banyak sangat kami bawa, sampai tiga beg. nak kata bawa beras ikan bilis cencalok semua, tak adalah. tapi di hujung trip ni kami berdua setuju beg roda tu tak payah bawa pun tak apa. ter-overpack pula. biasalah, baru kahwin. belum pandai lagi. huhu. ayat jaga hati sendiri. dan kenapa beg-beg ni ada sebelah aku? sebab suami nak duduk senang-senang hati menikmati pemandangan, jadi isteri tabahkan hati sajalah jaga beg semua. gambar boarding pass tak payah la tunjuk ye. mencapub sangat.



KOTA KINABALU
kami sampai jam 11 malam, tapi jam 11 di sabah setara dengan tengah malam di semenanjung. dan disebabkan kami berdua sukakan cabaran dan malas merancang beria, kami sampai di sabah dalam keadaan belum book mana-mana bilik hotel. tak apa, redah je naik teksi dan sebut mana-mana hotel yang kami tau. lupa nak bagitau, waktu itu seminggu sebelum tadau kaamatan, jadi hotel banyak yang penuh dibook oleh agensi-agensi yang terlibat dengan sambutan. hotel yang kami pergi tu tiada bilik kosong. dalam keadaan cuak-cuak buah itu kami suami isteri terpandang satu hotel lain. kebetulan ada bilik, lalu dengan yakinnya suami tempah untuk dua malam. jumlah kena bayar: RM400. wang dalam tangan: RM417. nasib baik dah makan malam dalam flight. esok pagi-pagi keluar cari ATM sebab suami tak ada duit tambang teksi ke tempat bertugas.

kota kinabalu sangat panas. pakcik teksi yang bawa kami ke hotel kata sudah empat hari tak hujan. duduk dalam bilik hotel yang air-cond lepas mandi pun boleh berpeluh. cuaca dan angin laut memang sangat panas (tak pasti pula kalau panas dosa). tapi itu tak jadi halangan kami berjalan kaki pusing town melihat-lihat apa yang menarik. pada aku kota kinabalu tak berapa menarik. sama saja macam town biasa. pasar filipina mungkin menarik sikit, tapi sebab aku sudah tau harga borong barang-barang di situ, rasa tak berbaloi kalau beli secara retail. sudahnya aku cuma beli beberapa barang saja, sekadar nak jaga hati konon-konon pernah shopping di pasar filipina. purchase yang paling buat aku gembira ialah scarf mutiara putih untuk aamily yang kecil. walaupun longgar sikit sebab kepala aamily kecil, tapi untuk sesi photoshoot katanya jun ini, aku cadangkan kat eni selotep saja scarf tu ke kepala mily. janji nampak cantik dalam gambar. eni pun fikir begitu. gambar shopping tak ada sebab sibuk sangat shopping tingkap sampai lupa ambil gambar.

yang menarik tentang kota kinabalu ialah seafood. cuma sayangnya, walaupun harga sudah berpatutan, masakan orang sabah tak kena dengan selera aku. aku rasa masak goreng tepung saja yang sedap. ikan fresh dan cantik, tapi tak ada masak ikan bakar. udang besar-besar, masak apatah aku pun tak pasti. yang pasti semuanya rasa lebih kurang sama: bland. tapi macam biasa, order juga seafood dan makan jugalah sampai habis walaupun tawar. rezeki jangan di tolak.

suami kata beliau nampak tough

suami rambang mata tengok makanan

kelapa shake, rasa aneh kat tekak aku tapi suami suka je

akhirnya: ikan yang terpilih menjadi korban makan malam kami

nampak macam sikit

bila dah masak jadi banyak pula

selain shopping dan makan, kami sempat naik keretapi ke beaufort dan patah balik. perjalanan sehala dua jam, tiket tak sampai RM10 seorang. keretapi yang kami naik ni keretapi zaman hitam putih dulu, bila tak digunakan lagi di semenanjung, telah dibawa ke sabah sebagai gerabak harian. cuaca sangat panas, ok. keretapi ni pula pakai tingkap dan kipas. tapi bila keretapi berhenti, kipas pun berhenti. mulalah aku jadi tukang kipas untuk suami. sayang punya pasal, anything for you mi amor (baru kahwin layankan sajalah). beaufort tak ada apa-apa sangat, cuma pekan biasa je. tapi seronok la tengok tempat orang. pemandangan sepanjang perjalanan pun menarik: daripada pekan ke kampung kecil, ke kilang kayu, pantai, kelapa sawit, bakau, sungai, terowong, hutan semua ada. selain keretapi, kami sempat naik beca pusing bandar kota kinabalu. yang kelakarnya, cuma kami berdua je naik beca, semua orang satu bandar tengok kami aneh. rupanya service beca pelancong tu masih baru, baru dua minggu. belum ramai pelancong yang naik. maaflah tercari publisiti pula, dan maaf juga kerana membuat trafik perlahan sepanjang laluan kami.

route keretapi

ada orang excited terlebih naik keretapi

bebudak kat belakang tu maknya tengah ajar posing maut untuk bergambar, harap besar nanti jadi anak yang sopan

aku jadi tukang kipas, bukan kaki kipas dan bukan juga kipas susah mati

sepetang di beaufort

balik tu tengok peta, baru tau beaufort kat mana

ini suami saya :)

view dari atas beca. lengangkan? view belakang beca kami lain cerita.

kami menginap tiga malam di kota kinabalu. malam ketiga tu kami check-out jam 5 pagi. nak kejar flight ke sandakan jam 7 pagi pula.


SANDAKAN
tiba di sandakan pun kami tiada bilik hotel. tapi masa google-google sebelum tu aku terjumpa satu hotel kecil ni, macam best. konsep oriental, ala-ala baba nyonya pun ada. aku request kat suami nak duduk situ. suami redha tak redha je la setuju sebab dia langsung taktau hotel apa ada di sandakan. kebetulan hotel yang aku pilih tu memang cantik terletak di tengah-tengah pusat bandar. nak ke mana-mana jalan kaki saja. mulanya aku nak suite, sebab tak mahal pun. dalam internet tengok sangat best suite di situ, ada katil four-post. tapi suami yang sangat prihatin dengan perbelanjaan universiti pilih untuk tinggal di bilik double biasa saja, within budget penginapan untuk gred dia. bila masuk bilik, memang tak menyesal. sangat best kot. ada tingkap menghadap ke laut. laut warna biru hijau pula. kemudian bilik air sangat cantik, banyak tempat letak barang, almari sangat besar dan serba serbi kami suka la. ada feature wall warna merah, kerusi rotan (ke buluh, entahlah) dan lampu rotan. sangat best. breakfast pula di rooftop, menghadap pemandangan laut yang sangat cun. lagi yang best pasal hotel ni, kami sampai jam 8:30 pagi mereka bagi check-in awal. tak ada caj tambahan pun. suka suka.

mengantuk tunggu flight pagi

view dari tingkap seat aku: gunung kinabalu

biarlah dia nak bergaya

lobby hotel

check-in dulu

gembira dapat bilik

berangan jadi baba nyonya sekejap

view dari tingkap bilik kami

bathroom: suka betul suami dapat bathtub

sinki je pun cantik

kat luar bilik: segan nak tunjuk gambar bilik tidur kami, jadi sila google sendiri

entahlah suami siapa ni

rooftop breakfast

boleh pilih nak duduk mana, tapi kalau duduk macam suami ni nak makan macam mana?

breakfast yang asyik dipau oleh suami

cuaca sandakan tak sepanas kota kinabalu, tapi tetap panas. still, kami tabah berjalan kaki ke sana sini tengok tempat orang. sempat juga menghabiskan saki-baki duit gaji di pasar awam sandakan. beli mutiara, kulit mutiara, t-shirt dan apa-apa yang boleh mengempiskan dompet dan memberatkan beg.

pasar pagi sampai tengahari

ambil angin sebelum membeli belah

muka nampak tenang, hati sangat rakus

posing kat kedai yang kami tak singgah

lalu je, tak singgah pun

aktiviti malam: topup tenaga untuk hari esok

di sandakan kami menginap satu malam saja. destinasi seterusnya: Lahad Datu.


LAHAD DATU
kami sengaja pilih untuk ke lahad datu menaiki bas. kononnya sengaja menimba pengalaman. perjalanan dijangka dua jam lebih, akhirnya jadi tiga jam setengah. agak malang seat aku, corong air-cond longgar. bila bas terhentak-hentak, corong air-cond pun tertutup. kalau di semenanjung jalan tak rata rasa macam naik kuda, di sabah jalan tak rata rasa macam naik bot. teroleng-oleng. aku macam nak muntah masa tu, dengan panas sebab corong air-cond buat hal, bas teroleng-oleng, bas tersangkut belakang treler lagi. itu belum cerita bas laju macam apa. lupa nak cakap, jalan di sabah satu lorong saja. kalau dah tersangkut belakang treler tu, berdoa sajalah drebar bas ada skil pemanduan yang mantap untuk memotong treler tanpa membahayakan keselamatan penumpang. walaupun keadaan begitu, ada bahagian yang menarik. bas ekspres di sana sediakan air mineral untuk penumpang. kemudian setiap sejam kelindan bas akan sembur pewangi. kira ok la kan. perjalanan tiga jam setengah tu juga telah mengeratkan lagi ikatan kami sebagai suami isteri; betapa suami sabar dengar isteri merungut dan betapa isteri sabar dibuli suami. dan betapa kami berdua masih boleh bergurau seperti biasa dalam keadaan extreme begitu. sampai di lahad datu, tiada teksi pula. nasib baik pakcik yang asyik usha kami bergurau senda mengada-ngada dalam bas tu baik hati rupanya. aku dah saspek dia sebagai psychopath. dia tolong tahankan teksi sapu untuk kami. dari hentian ke hotel, RM6 saja. hotelnya pula dari luar nampak buruk, kat dalam ok la. banyak condiment, toilet supplies pun banyak, view best, cuma kurang bersih sikit. ok la sebab harganya murah.

di terminal bas batu 2 1/2: tempat kecil tapi toiletnya exceptionally bersih

sampai-sampai dah maghrib, makan dulu

ni namanya mesin polish kasut

view dari bilik kami

lupa nak ambil gambar dalam bilik. kami menginap di sini dua malam. kemudian suami perlu ke felda untuk tugasan seterusnya tapi masalahnya tak ada transport. felda tu lebih 100km dari pekan lahad datu, mau hampir dua jam perjalanan. sebab tak ada transport, student kami di sana ambil cuti untuk bawa kami ke felda. di felda kami menginap lagi satu malam. yang ni memang best, kecuali tang makan. bilik kami betul menghadap kolam renang. di depannya pantai. pantainya macam ganas, tak berani nak mandi, jadi suami mandi kolam je petang tu. yang tak bestnya, tak ada kedai makan berdekatan jadi terpaksa makan di diner resort. harganya bukan main mahal. makanannya tak sedap langsung. tapi environment memang sangat relaxing. kalau datang untuk berehat, memang best la. masa kami datang, bilik double habis jadi kami ambil bilik twin. malam-malam jadi satu kerja pula kami suami isteri main tolak-tolak nak rapatkan katil. sudahnya malam-malam suami tidur menghimpit aku sampai aku terselit tepi dinding. tak payah rapatkan katil pun tak apa. guna satu katil single je dah muat.

dalam kenderaan student menuju felda

view dari balkoni kami

tak pasti apa motif gambar ni

oh, gagah sungguh beliau (kalau tak fokus pada kaki)

berenang satu lap, topup tenaga satu pinggan

satu malam je duduk di sini. cukuplah. walaupun tempat sangat best, tapi sebab makanan tak best jadi tak sabar mau keluar. esoknya kami dihantar oleh student yang sama ke tempat tugasan suami yang seterusnya di kunak, kemudian terus ke bandar tawau. dari felda ke kunak kurang dua jam, kunak ke tawau pun kurang dua jam. dah macam aktiviti lawatan sambil belajar. macam-macam student tu cerita tentang sabah, terutamanya di kawasan dialah. nasib baik aku pernah mengajar student yang sama, jadi tak kekok sangat. 


TAWAU
di tawau tak banyak aktiviti kami buat. kami menginap di hotel di tengah-tengah pusat bandar. hotelnya mahal, tapi kebetulan ada promosi hingga jun, dapat separuh harga. mula-mula sampai tawau, taktau ada apa di bandar ketiga terbesar di sabah tu. pening juga fikir apa menariknya tawau ni. lama pula menginap di sini; tiga malam. hari pertama kami sampai dah hampir maghrib. bapa seorang student ajak kami makan malam bersama, kami setuju saja. sebelum tu student yang hantar kami ke tawau dah bawa kami jalan pusing-pusing bandar, jadi kami dah ada idea mana tempat mau pergi. kami sempat singgah di pasar gantung dua kali, tapi sekejap saja. tak shopping apa sangat, cuma beli beberapa helai baju. pasar tanjung tak pergi pula, kami rasa beg kami tak ada ruang untuk ikan bilis dan ikan kering.

sangat serius menuju ke tawau

orang nak ambil gambar bilik, dia posing pula

makan makan kami, thanks to very enthusiastic desmond and his dad

breakfast orang lapar


port ni lebih kurang macam tanjung mas, muar

toilet macam tema firaun

yang best tentang tawau, pada aku la, makanan. banyak kedai makan ala-ala food junction kat tepi pantai. satu petang yang sangat panas kami singgahlah nak makan ABC, sekali rambang mata pilih ABC. ada ABC biasa, kacang, jagung, buah, kelapa, milo, jelly dan entah apa-apa lagi. aku pilih ABC milo, suami pilih ABC kelapa. walaupun tak pernah terlintas nak tabur milo atas ABC, tak sangka sedap juga. atau mungkin aku terlalu haus waktu tu, letak minyak gamat dalam cawan pun aku rasa sedap. lagi kami makan keropok lekor dan murtabak. keropok lekornya tak sangka pula rasa tepung. ingatkan tempat yang senang dapat seafood, keropok lekor original macam di mersing. tak apalah, bukan tak biasa makan pun. murtabaknya pula bukan murtabak daging atau ayam macam yang selalu kita jumpa di sini. murtabak sana intinya telur dan sayur kubis. intinya dibancuh macam kubis dalam takoyaki tu, dipotong halus-halus, campur telur, bawang, lada dan carrot. sedap pula makan, walaupun kami sudah makan malam sebelumnya.

dinner untuk suami: nasi lalapan

dinner untuk isteri: orang sana panggil sayap, terus aku bayangkan sayap kapal terbang

gambar bonus: suami dan kesayangannya

maaflah tak ada gambar ABC dan murtabak. makan dengan bersungguh-sungguh sampai lupa ambil gambar. cerita tentang gambar suami dengan orang utan tu, sebenarnya bila pertama kali suami nampak pintu lif tu beliau telah tunjuk ke arah gambar tu berkata: eh isteri, isteri buat apa tu? lalu aku cadangkan supaya beliau ambil gambar berdua sebab itukan kesayangan beliau. lalu beliau pose dengan pintu lif. cerita kenapa dia kata orang utan itu isterinya, cerita ni mula sebelum kahwin lagi. bila di depan khalayak, aku malu membahasakan diri dengan panggilan manja kami, jadi aku bahasakan diri aku "orang". kadang-kadang terlepas guna "orang" bila berdua dengan suami, jadi suami akan tacing. dia akan kata: apa orang-orang, orang utan ke? kemudian bila kami bincang tentang wang hantaran dan mas kahwin, suami suka kata: orang yang tak kisah tentang harta, pangkat dan kedudukan ialah orang utan. lalu aku kata pada beliau: pergilah kahwin dengan orang utan, tentu dia terima kamu seadanya. kebetulan pula, aku selalu kata muka suami macam muka kingkong. jadi aku saspek beliau mau balas dendam dengan menyamakan aku dengan orang utan. sekian iklan.

sepanjang di tawau, suami buat drama pula. malam pertama sampai, sakit giginya datang semula. aku dah cerita dalam entri terdahulu. punyalah banyak klinik gigi di tempat tinggal kami, sudah sampai tawau baru nak cabut gigi. memang suka cipta memori. aku tengok gigi suami yang dicabut, geli betul. cakap tentang gigi tu, baru teringat selama ni gigi tu ada dalam handbag aku. huhu. kat bawah ni gambar exactly lepas beliau cabut gigi. kesian tengok mukanya, tapi bila difikirkan dia sendiri yang tangguh-tangguh rawatan, mau saja kata padan dengan muka dia. hehe.

alorr, buruk muka dia

habis tiga malam di tawau, kerja suami pun selesai jugalah. masih ada baki dua hari sebelum flight pulang ke kuala lumpur, jadi kami putuskan mau ke pulau mabul. 

mabul, here we come.


MABUL ISLAND
nak ke pulau mabul ni leceh juga. ada macam-macam pakej. mula-mula kami tanya pakej dari tawau ke mabul terus ke airport. harganya untuk dua orang dah boleh belikan suami smartphone sebiji. kensel. kemudian kami redah saja ke semporna. kami fikir kalau tak dapat ke pulau pun cukuplah tidur di resort atas air di semporna tu. malam-malam boleh pergi makan seafood di tampi-tampi. perjalanan dari tawau ke semporna lebih kurang sejam setengah. kami ke sana pun student yang hantarkan (orang sabah ni baik-baik dan rajin layan tetamu). di semporna kami jumpa satu pakej sewa bot sehari RM350. sebab masa tu sudah tengahari, kami mau ambil sewa bot untuk daytrip saja. kami ajaklah student-student kami sekali, tapi mereka ni entah malu entah segan, takmau pula. bila kami fikir semula, tak berbaloi sewa bot kapasiti 12 orang dengan harga itu untuk setengah hari kalau cuma kami berdua. jadi cari pakej lain. jumpa satu pakej backpacking ke mabul, seorang RM192 untuk satu malam. harga ni untuk bilik kipas, tak ada air-cond. tapi termasuk dalam pakej ialah makan malam, breakfast dan lunch serta trip snorkeling seberapa banyak yang kami sempat join. rasa macam ok, kami pun ambil pakej ni.

letih-letih pun sempat posing

dragon inn, semporna

ceria masuk kedai souvenir

terjebak beli mutiara asli nak ikat emas buat loket

view resort kat belakang terlindung oleh muka tembam kami

jam 3:30 petang bot berlepas ke pulau mabul. perjalanan mengambil masa sejam. sampai di resort hari sudah petang, jadi kami terus check-in. di resort tu waktu check-out jam 8:30 pagi. rasa macam rugi sebab kami bayar fullday tapi dapat tinggal separuh hari saja. esoknya kami boleh pilih mau bertolak pulang ke semporna menaiki bot jam 9:30 pagi atau 3:30 petang. sementara kami di pulau, makanan disediakan. trip snorkeling pula setiap hari jam 9:30 dan 11:00 pagi, serta jam 2:00 petang.

attire je fail tak macam backpacker, geli-geli je pakai baju pink

sangat tabah terjun masuk bot sambil galas beg berat tanpa bantuan, laluan dalam bot penuh cabaran pulak

bye bye, semporna

kulit muka dah separuh masak

menuju ke mabul island

sudah sampai :)

bila kami check-in, terkejut sekejap sebab kami dapat bilik family dan dengan air-cond. ada satu katil double dan dua katil single. sampai satu tahap, kami berdua was-was betul ke tu bilik kami sebab kami cuma bayar harga bilik tanpa air-cond. makan malam disediakan ala buffet: nasi putih, ayam panggang, ikan panggang, potato salad, sayur petola, satay udang, kuah kacang dan buah. air cuma air masak, kalau nak air lain kena bayar. lepas makan ada persembahan live band, boleh tahan seronok. lagu pun best-best. yang menyanyi penduduk asal pulau mabul (aku rasalah). waktu live band tu aku ajak suami layan blues memandang laut. bila live band habis, organizer mula pasang lagu lady gaga dan pelancong asing mula mabuk, aku masuk bilik dan tidur dengan senang hati.

gambar sampan ni aku yang snap

gambar sampan yang sama bila suami snap

termenung ingat awek lama ke?

lepak layan live band sambil minum air masak

bilik kami sebelum jadi tongkang pecah

view dari tingkap bilik kami: kalau tengok bawah nampak tapak sulaiman

anak-anak kecil di mabul island

di pulau mabul tak ada banyak aktiviti. kalau tak snorkeling, diving. itu sajalah. sebab kami sampai lepas trip terakhir snorkeling, petang tu kami jalan-jalan keliling pulau mabul saja. tapi tak sempat pusing satu pulau, walaupun cuma ambil masa lebih kurang 30 minit. sebabnya suami ajak patah balik ke resort nak tengok matahari terbenam. jiwang. tapi aku layankan juga.

 jalan-jalan di celah rumah penduduk kampung

ala sopannya, macam gambar kelas masa tadika

jumpa sekolah terus berangan jadi cikgu di sini

main petang-petang

tunggu mak kaloi tak timbul-timbul

posing kat pantai resort lain

chalet ni satu malam mau ribu-ribu juga

the real mabul island

40km? padahal depan rumah ni terus laut

madrasah: penduduk sini boleh kata semuanya islam

a cute islander

ni gigi siapa tertinggal ni?

rumah-rumah kat sana

gambar ni aku snap dari dalam tingkap

dia ni hari-hari lalu lalang depan bilik kami, sibuk betul schedule dia

esok pagi kami pergi snorkeling. trip jam 9:30 pagi snorkeling di pulau mabul. aku ikut tapi taknak turun sebab takut air. bila tengok suami seronok je berenang, mulalah aku jeles. untuk trip jam 11:30 pagi ke kapalai island aku terus tukar baju dengan suami: aku pakai baju hitam, suami pakai putih. apa lagi, snorkel la. pakcik yang ajar snorkel tu baik dan sangat motivated. dia ajar teori je pun. suruh aku pakai goggle, hembus-hembus. pastu terus masuk air. agak hebat juga aku, sekali cuba terus pandai. haha, berlagak. mula-mula snorkel asyik berkepit je dengan suami, takut tenggelam. suami pandai sikit berenang. aku pandai terapung je. dah lama-lama sikit dah berani lepas tangan. lama-lama lagi aku pula tolak suami suruh main jauh-jauh. kacau view orang nak tengok ikan je. huhu. nasib baik suami aku penyayang, ikut je mana aku pergi. dia pula berkepit dengan aku. 

rugi tak dapat ambil gambar dalam laut. air sangat jernih. ada banyak ikan warna-warni. nemo pun ada. ikan leper pun ada. yang kepala besar pun ada, yang mata besar pun ada. yang warna hijau ada, biru ada, merah macam tak ada. ada penyu (tapi aku tak nampak sebab masa tu aku sombong duduk dalam bot je). ada juga ikan sangat besar suami nampak (aku tak nampak juga walaupun suami dah tunjuk sebab aku rabun tak pakai spek, boleh ke alasan tu?). lagi ada ikan macam ikan sardin tu, sekali berenang empat lima ekor. siapa biasa main game feeding frenzy, macam tulah suasananya. barracuda pun ada. banyak sangat ikan. pukul 2:00 petang kami join trip terakhir snorkeling di pulau mabul juga, tapi di site lain. batu karang lawa-lawa, cuma berbanding kapalai island, mabul island kotor sikit. dalam airnya banyak debris. tapak sulaiman sangat banyak, tak cukup kaki tangan nak kira. in fact dari tingkap bilik kami pun boleh kira tapak sulaiman. trip terakhir habis jam 3:00 petang. kelam-kabut aku dan suami bilas baju dan mandi nak kejar bot balik ke semporna jam 4:00 petang.

excited nak snorkel

sampai tempat snorkel, selamba je makcik ni bukak baju dan terjun

peter: ketua pramugari bot kami merangkap cikgu snorkel

bersedia untuk berlepas

khusyuk sungguh

nak ke mana tu?

salah satu objek oren kat tengah laut tu ialah suami aku

orang takut air tinggal dalam bot dengan drebar bot je la

kawan baru

aku tengah berdebar nak masuk air

masa ni pakcik peter tengah ajar aku hembus-hembus, layannn

snorkeling dalam line tau, kat situ banyak coral dan ikan lawa-lawa

kapalai island

pakcik peter suruh pose macam ni

dating

dah tak takut air dah

kembali ke pangkal jalan

dengan pekerja resort yang sangat periang, mereka teman kami snorkel siap buat stunt dalam air

nak pose ala-ala titanic tapi takut jatuh

saya sayang suami saya :)

dah nak balik dah, tunggu bot je

sepanjang di pulau mabul, rezeki kami agak murah. sudahlah dapat bilik besar dengan air-cond, kami tak perlu check-out jam 8:30 pagi pula. sebaliknya resort benarkan kami check-out jam 3:30 petang. makanan yang konon-konon tiga meal sehari rupanya lima meal, termasuk minum pagi dan minum petang. makanan sangat best, boleh makan sangat banyak. lepas balik berenang mestilah lapar, jadi makan sajalah. petang tu sampai saja di semporna, pihak resort tolong kami dapatkan teksi ke airport. teksi ke airport RM100, perjalanan selama sejam suku. driver teksi sangat baik dan peramah, cuma slacknya matanya kurang jelas. aku risau takut-takut dia terbabas dalam perjalanan. nasib baik kami terus naik teksi ke airport. sampai airport, self check-in dan solat. sempat makan sekejap. lepas makan, student datang hantarkan beg yang kami tumpang pada dia. cantik je lepas kami check-in baggage terus calling. tak lama tunggu pun. flight jam 9:55 malam, sampai di LCCT jam 12:50 pagi. 

adik suami dengan sangat baiknya telah pulangkan kereta yang telah dicuci. siap gantung penyegar udara gitu. tak sia-sia minta dia jagakan. kami sampai rumah jam 4:30 pagi. bagi kuning makan, kemudian terus tidur dua jam. bangun subuh tu suami terus ke tempat kerja. kesian beliau. tapi trip kali ni sangat best. tak ada menyesal langsung walaupun sangat penat dan busuk dan mestilah sunburn macam udang panggang. belum cerita kulit muka jadi sangat kering sebab cuaca, dan gusi suami berdarah tak henti beberapa hari sebab cabut gigi. tapi kalau boleh, mau ulang semula.

total semua sekali 700 lebih gambar yang kami snap. berapa kali update facebook, tak kiralah pula. masa perjalanan sebelas malam dan sepuluh hari, cover empat daerah, beberapa pekan dan pulau. bermula dengan memandu, naik train, flight, beca, bas, teksi, 4-wheeler dan bot. kuda je yang kami tak naik. sangat seronok. terima kasih suami sebab bawa aku bercuti :)
I don't need followers, I am not a leader.